Rabu, 8 Disember 2010

Putus tangan akibat pecah rumah orang

BESUT: Seorang lelaki putus tangan akibat ditetak ketika cuba memecah masuk rumah seorang penternak ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini awal pagi tadi.

Tangan kiri pemuda yang berusia 28 tahun itu putus akibat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian itu berlaku apabila pemilik rumah berumur 49 tahun itu tersedar daripada tidurnya dan ternampak bayangan seseorang yang cuba memasuki rumahnya melalui tingkap.

"Dengan bersenjatakan sebilah parang, secara senyap-senyap, tuan rumah itu keluar daripada rumahnya dan menghampiri suspek yang sedang leka mengumpil tingkap rumah berkenaan dengan sebatang besi.

"Suspek yang terkejut dengan kehadiran tumah rumah itu cuba menyerang dengan besi berkenaan, namun tangan kiri suspek sempat dilibas dengan parang oleh tuan rumah berkenaan," katanya di tempat kejadian.

Suspek yang didapati berasal dari Setiu terus melarikan diri manakala tangannya yang terputus dari paras pergelangan tangan tertinggal di tempat kejadian./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan