Rabu, 15 Disember 2010

Lagi Kes Pencuri Motosikal Mati Di Kelantan

TANAH MERAH: Selang dua hari, satu lagi kejadian membabitkan kematian pencuri motosikal berlaku di negeri ini awal pagi ini di Kampung Alor Pasir di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali sebagai Nor Azman Ubaidillah, 37, mati selepas bergelut dengan orang awam dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi selepas mangsa cuba melarikan diri dengan motosikal curinya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan (DSP) Abdul Aziz Mahmud berkata polis yang ke tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan kemudiannya dibawa keHospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

"Mangsa sebelum itu telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha di sebuah rumah dan disedari keluarga berkenaan ketika motosikal itu cuba dibawa keluar dari rumah.

"Keluarga berkenaan telah mengejar mangsa dan berjaya menjatuhkan motosikal tersebut yang cuba dihidupkan mangsa tidak jauh daripada rumah tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini. Abdul Aziz berkata kemudiannya telah berlaku pergelutan antara mangsa dan anggota keluarga itu termasuk beberapa jiran dalam tempoh beberapa minit.

"Polis kemudiannya telah dihubungi selepas mangsa berjaya ditangkap namun ketika polis datang mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis tidak mendapati sebarang kecederaan fizikal terhadap mangsa dan dipercayai mangsa mungkin mengalami masalah sesak nafas.

"Polis sedang menunggu hasil bedah siasat bagi mengetahui dengan jelas sebab kematian mangsa," katanya.

Menurutnya polis juga turut merampas beberapa alat pengumpil motosikal daripada pakaian mangsa yang merupakan seorang pemandu sambilan dan berasal daripada Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang dan mempunyai empat orang anak.

Katanya hasil siasatan juga mendapati mangsa mempunyai rekod kesalahan kesdadah.

"Polis bagaimanapun telah menahan tiga lelaki berumur 18 hingga 47 tahun yang dua daripadanya merupakan adik beradik dan seorang lagi jiran mereka bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau juga berkata polis telah menyiasat kes itu mengikut Seksyen 379A iaitu mencuri dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua hari lepas seorang lelaki berumur 25 tahun mati dibelasah orang ramai selepas cuba mencuri motosikal di Kampung Slow Machang, Pasir Mas./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan