Jumaat, 17 Disember 2010

Bekas Timbalan KP Imigresen didapati bersalah atas 14 tuduhan rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Imigresen, Yusof Abu Bakar didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini atas 14 tuduhan rasuah.

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan Isnin ini keputusan hukuman terhadap Yusof.

Yusof Abu BakarAbu Bakar berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Yusof tanpa keraguan munasabah.

Yusof, 56. dituduh menerima rasuah berjumlah antara RM500 dan RM18,500 pada setiap transaksi daripada seorang pengurus jualan di Bahagian Kawalan Aras 7, Jabatan Imigresen Malaysia, Blok 2G4, Presint 2, Putrajaya; Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang dan Stesen Minyak Caltex, Jalan Pudu antara 21 Mac dan 25 Jun 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 akta yang sama, jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 14 November 2008, Yusof yang diwakili peguam Mohammed Azmi Mohd Said turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang terhadap empat tuduhan yang sama dan satu tuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membabitkan tuduhan yang sama.

Semua kes itu sudah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bermula pada 22 Februari lalu untuk perbicaraan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi memanggil 15 saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Februari lalu./bharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan