Jumaat, 24 Disember 2010

Lapan sekawan tumpas

TAMPIN: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah nasib lapan sekawan berumur lingkungan 15 hingga 18 tahun yang ditangkap di kediaman masing-masing di Felda Gugusan Palong, Jempol, berikutan kes kecurian motosikal di beberapa lokasi berkaitan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dengan penangkapan itu, polis yakin berjaya menumpaskan geng mencuri motosikal dengan tujuh daripadanya masih bergelar pelajar di Daerah Tampin.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam, tangkapan berkenaan dilakukan secara berperingkat, bermula sejak 13 Disember lalu dan berakhir pada 16 Disember.

“Susulan tertangkapnya lapan sekawan ini, pihak polis berjaya merampas empat motosikal, lapan rangka motosikal, dua enjin motosikal, dua enjin ‘cover’ dan beberapa lagi komponen lain.

“Anggaran keseluruhan barangan yang dirampas bernilai lebih RM20,000,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam.

Kooi Cheang berkata, pihaknya juga percaya, dengan penangkapan itu, sebanyak sembilan kes kecurian motosikal di beberapa tempat dapat diselesaikan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan