Isnin, 27 Disember 2010

Perompak ugut cedera kanak-kanak perempuan

KUALA TERENGGANU, 26 Dis: Seorang perompak sempat mengugut untuk mencederakan seorang budak perempuan sebelum melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM5,000 dalam kejadian samun di Kampung Binjai Manis, Manir dekat sini, awal pagi ini.

Salah seorang daripada penjenayah bertopeng itu yang memecah masuk rumah dan meletakkan pisau di leher budak berusia 4 tahun agar ibunya, Nor Azlina Jaafar, 43, membiarkan mereka menggeledah rumah itu.

Menurut Nor Azlina, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi setelah dia terjaga dari tidur dan mendengar bunyi pelik di bahagian belakang rumahnya namun dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyambung tidur.

"Tidak lama kemudian saya terkejut apabila muncul dua lelaki bertopeng di depan pintu bilik," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian bangun dari tidur dan segera memeluk anaknya sebelum salah seorang penyamun memegangnya dari belakang dan mengacu pisau pada belakang leher anaknya.

Jelasnya, pada masa yang sama, seorang lagi penjenayah menggeledah seluruh bahagian rumah dan mengambil barang-barang berharga untuk diisi ke dalam sebuah beg mengkuang miliknya.

Menurutnya, kedua-dua penyamun itu kemudian melarikan diri melalui pintu belakang rumah tersebut.

Berikutan kejadian itu, Nor Azlina kerugian kira-kira RM5,000 apabila penjenayah itu melarikan wang tunai RM800, seutas rantai dan sebentuk cincin emas serta sebuah telefon bimbit.

Dia mengesyaki penjenayah itu berasal dari sekitar kawasan tersebut berdasarkan dialek percakapan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) negeri, Supritendan Zani Che Din memberitahu, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan penjenayah berkenaan./utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan