Jumaat, 24 Disember 2010

Padah gara-gara culik isteri orang

AYER KEROH: Gara-gara menculik isteri orang untuk mendapatkan tebusan membawa padah kepada tiga lelaki apabila mereka berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh Koh Chun Seng, 39, yang bekerja sebagai peniaga, Lee Hee Wee, 38, pekerja kilang perabot dan seorang lagi rakan mereka, warga Indonesia dikenali sebagai Sahri tidak mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan di hadapan Hakim Datuk Halijah Abbas.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa menculik seorang wanita, Goh Geok Hua, 31, dengan meminta wang tebusan RM300,000 daripada suami mangsa, Ng Guan Kiat, 30, di KS 1006 Jalan Kuala Damai 1, Taman Kuala Damai, Kuala Sungai Baru Alor Gajah pada 24 Disember tahun lalu, jam 10 pagi.

Ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 akta yang sama dan jika disabit kesalahan, mereka boleh menerima hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan tiada sebarang jaminan ditawarkan disebabkan kes memperuntukkan hukuman mati.

Selepas mendengar pertuduhan, Halijah kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dua tertuduh iaitu Chun Seng dan Hee Wee diwakili peguam masing-masing, manakala Sahri tidak diwakili peguam./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan