Jumaat, 17 Disember 2010

Wanita enggan beri nombor telefon ditikam

KUANTAN: Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata ketika kejadian 9.30 pagi semalam itu, suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan.

"Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa.

"Mangsa enggan memberi dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan.

"Mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, mangsa kemudian meminta suspek membawanya ke hospital.

"Suspek kemudian membawa mangsa ke hospital, namun wanita berkenaan menyedari suspek cuba melencong ke tempat lain dan bertindak terjun dari motosikal berkenaan sebelum suspek lari meninggalkan mangsa," katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan./BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan