Ahad, 26 Disember 2010

Remaja mungkin ke tali gantung edar heroin

JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 19 tahun mungkin berhadapan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin.

N Partiban yang bekerja sebagai kelindan lori menghadapi dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis itu mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama iaitu mengedar dadah.

Mengikut fakta kes, tertuduh pada Isnin lalu kira-kira jam 4 petang dipercayai mengedar heroin seberat 45.2 gram di No 22, Jalan Suria 77, Bandar Seri Alam Masai, di sini.

Kes dibicarakan di bawah Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada hari yang sama kira-kira jam 1.30 petang, Partiban didapati memiliki dadah jenis sama seberat 4.7 gram Jalan Bangau, Kampung Sepakat Masai, di sini.

Tertuduh disifatkan sebagai bukan sebagai seorang yang diberi kuasa atau bukan seorang yang telah diberi kuasa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu termaktub di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan kedua dan Hakim, Mazana Sinin memutuskan 25 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan kimia.

Kes dibacakan Pendakwa raya, Chuah Shyue Chien manakala tertuduh tidak diwakili peguam. /sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan