Ahad, 26 Disember 2010

Sembunyi heroin dalam seluar dalam

YAN: Seorang lelaki bertindak menyembunyikan dadah dipercayai jenis heroin dalam seluar dalam bagi mengelak ditahan polis yang melakukan serbuan mengejut di sebuah rumah yang dijadikan tempat aktiviti menjual dan menghisap dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, hasil serbuan itu, dua lelaki berjaya ditahan, salah seorangnya memiliki dadah disyaki jenis heroin.

“Semasa serbuan, polis menjumpai lima peket lut sinar dipercayai heroin yang disembunyikan dalam seluar dalam salah seorang dari lelaki itu.

“Anggaran berat kasar bahan yang disyaki adalah 6.33 gram,” katanya ketika ditemui.

Operasi yang diketuai oleh Inspektor Marafendi Marzuki itu turut menjalankan saringan air kencing kepada dua lelaki terbabit.

“Hasil saringan awal air kencing, ke dua-dua lelaki terbabit disahkan positif morfin,” katanya kepada Sinar Harian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 3(1)Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (pindaan 1998).

Suspek ditahan reman bermula 21 Disember sehingga 26 Disember./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan