Selasa, 28 Disember 2010

Trauma 2 jam

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri termasuk anak lelaki mereka melalui detik mencemaskan selama dua jam apabila rumah mereka disamun tiga penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol di Taman Petani Jaya, di sini, sebelum diculik dan ditinggalkan di Plaza Tol Pendang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam, tiga penjenayah terbabit menaiki sebuah kereta berhenti di depan rumah mangsa lalu masuk dalam kawasan pagar sebelum memecahkan cermin pintu utama rumah mangsa.

Menurut sumber, sebaik memecah pintu utama, ketiga-tiga suspek menyerbu masuk dalam rumah sambil mengacukan pistol ke arah pasangan suami isteri serta anak mereka.

Dua suspek itu kemudian mengikat mangsa yang juga seorang guru Sekolah Menengah Sin Min berusia 50 tahun dan isteri berusia 48 tahun, seorang guru pusat tuisyen serta anak lelakinya, pelajar kolej di Seremban berusia awal 20-an.

Katanya, seorang daripada suspek memberi amaran supaya mangsa tidak bertindak sesuatu sebelum mengikat tangan dan menutup mata serta mulut pasangan itu dan anak mereka.

“Dua suspek kemudian mengambil dua komputer riba, beberapa telefon bimbit serta merampas sejumlah wang tunai daripada pasangan guru terbabit.

“Suspek kemudian terkejut dengan jeritan jiran mangsa kemudian melepaskan satu das tembakan ke siling rumah dan berlari keluar dari rumah sambil membawa pasangan suami isteri itu serta anak mereka menaiki Proton Wira yang terletak di depan rumah manakala seorang lagi suspek memandu sebuah kereta lain,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sumber itu berkata, pasangan itu kemudian diberi amaran oleh suspek supaya tidak membuat bising atau bertindak sesuatu kerana mereka tiada niat untuk menculik dan melarikan ketiga-tiga mangsa ke arah Gurun melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berkata, pada mulanya suspek mahu melepaskan mangsa di Gurun, namun sebaik tiba di kawasan itu suspek terlupa memasuki Plaza Tol Gurun menyebabkan suspek kemudian terus memandu dan memasuki Plaza Tol Pendang sebelum melepaskan pasangan itu serta anak mereka sebaik melepasi tol terbabit.

“Suspek kemudian meninggalkan mangsa bersama Proton Wira Aeroback milik mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta lagi dipandu rakan mereka.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pendang sebelum pulang ke rumahnya di Taman Petani Jaya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, seorang daripada suspek bertindak melepaskan satu das tembakan dan terkena siling rumah sebelum bertindak melarikan pasangan guru dan anak mereka kerana terkejut dengan kehadiran jiran mangsa.

“Bagaimanapun, pasangan guru dan anak mereka ditinggalkan bersama kereta mereka selepas Plaza Tol Pendang.

“Pasangan terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Pendang,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan