Rabu, 15 Disember 2010

Renungan akhir sebelum terjun dari tingkat 19

GEORGETOWN: Seorang warga emas terkejut melihat mayat seorang lelaki yang terbaring atas jalan adalah individu sama dilihatnya berdiri termenung di koridor berhampiran rumahnya sebelum dia turun untuk menikmati sarapan bersama rakannya pagi semalam.

Ooi Doon Theng, 83, berkata, sebelum dia turun, dia melihat lelaki itu termenung di koridor berhampiran rumahnya di tingkat 19 namun tidak mengesyaki apa-apa kerana mangsa kelihatan normal dan mungkin sedang merenung pemandangan pagi di situ.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa pun dengan lelaki itu dan ketika saya berbual dengan rakan di bawah, saya terdengar bunyi dentuman. Saya lihat ramai orang berlari ke arah pintu lif untuk lihat apa yang terjadi.

“Alangkah terkejutnya apabila saya melihat lelaki yang saya nampak di koridor berhampiran rumah saya beberapa minit sebelum itu terbaring menggelupur sebelum dia mati dengan darah memancut di kepalanya,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.35 pagi itu menyebabkan puluhan penduduk di Perumahan Pangsa Gat Lebuh Maccalum yang bersiap-siap untuk keluar bekerja terkejut melihat mayat lelaki itu.

Doon Theng berkata, mangsa bukan penghuni di perumahan itu dan dipercayai mati akibat terjun dari tingkat 19.

Pemeriksaan polis ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang pengenalan diri.
Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan meminta kerjasama orang ramai yang mengenali mangsa agar tampil menuntut mayatnya di hospital selepas selesai dibedah siasat./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan