Selasa, 28 Disember 2010

Suami isteri dipenjara lapan tahun

KUALA LUMPUR: Seorang bekas setiausaha Syarikat TP Indah Sdn Bhd, Chong Siu Ling hari ini dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) berjumlah RM424,389.53 milik syarikat itu.

Turut menerima nasib yang sama adalah suaminya, Hew Kun Loo, yang didapati bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan isterinya, dipenjara lapan tahun dan tiga kali sebatan.

Hakim Noradidah Azman membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Siu Ling, 43, dan Kun Loon, 38, di akhir kes pembelaan.

Noradidah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan mengenakan syarat tambahan iaitu wang jaminan dinaikkan kepada RM25,000 terhadap setiap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Siu Ling yang kini suri rumah didakwa melakukan kesalahan itu terhadap 18 keping cek syarikat itu berjumlah RM424,389.53 dan kemudian memindahkannya ke dalam dua akaun miliknya./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan