Sabtu, 25 Disember 2010

Warga emas ditendang perompak

JENUN: Seorang warga emas yang menjalankan perniagaan barangan runcit di Pekan Kilang Kecil mengalami lebam di dagu dan mulut serta pecah di bahagian bibir akibat ditendang seorang lelaki yang cuba merompak duit di laci kedainya itu.

Mangsa, The Sok Hiang, 76, berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam 3.30 petang ketika dia sedang menunggu pelanggan di kedainya, namun tidak menyangka pelanggan yang memasuki kedainya itu berniat ingin merompak.

Menurutnya, seorang perompak berkulit gelap lingkungan 30-an memasuki kedainya dengan memakai seluar jean bersama jaket berwarna hitam dan berkasut kulit berpura-pura ingin membeli sebotol cat sembur berwarna putih.

“Lelaki itu memasuki kedai dan meminta sebotol cat sembur menyebabkan saya bangun dari tempat duduk untuk menuju ke rak cat terbabit, namun tidak sempat mengambil cat dari rak itu tiba-tiba saya melihat lelaki itu sedang mengambil duit dari laci kedai.

“Ketika melihat lelaki itu sedang mengambil duit saya menjerit ‘perompak’ menyebabkan dia bertindak menendang bahagian dagu dan mulut saya sehingga saya terjatuh lalu dia menuju keluar dari kedai,” katanya.

Sok Hiang berkata, jeritan itu tidak didengari orang ramai terutamanya kedai-kedai berhampiran kawasan itu memandangkan keadaan kedainya itu berada agak dalam dan ketika kejadian tiada orang lain di dalam kedai terbabit.

“Ketika kejadian semua anak dan menantu keluar ke Alor Setar kerana ada urusan menyebabkan saya berniaga seorang diri, namun saya juga tidak menyangka kejadian itu akan berlaku memandangkan saya berniaga di sini lebih 50 tahun.

“Perompak itu berjaya mengambil duit dari laci itu berjumlah RM100 dan selepas beberapa minit dia keluar saya juga segera keluar dan mendapati dia sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Sok Hiang berkata, selepas kejadian itu, dia dimaklumkan orang ramai bahawa ternampak sebuah kereta berwarna putih sedang menunggu berdekatan kedainya bersama tiga lagi suspek./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan