Sabtu, 18 Disember 2010

Pengedar dadah maut jatuh bangunan


ANAK panah menunjukkan tempat seorang lelaki terjatuh lalu mati ketika cuba memanjat balkoni di flat Taman Bunga Negara, Shah Alam kelmarin.

SHAH ALAM:  Tindakan seorang pengedar dadah memanjat balkoni rumah untuk melarikan diri dari ditahan polis mengundang padah apabila dia mati selepas terjatuh dari tingkat empat blok 39, flat Taman Bunga Negara di Seksyen 27 di sini kelmarin.
 
Kejadian pukul 4.30 petang itu menyebabkan lelaki tersebut mati di lokasi kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala dan badan. 

Difahamkan, penganggur berusia 29 tahun terbabit tergelincir sebelum terjatuh ketika cuba memanjat tembok di balkoni belakang bangunan sembilan tingkat berkenaan untuk ke balkoni rumah sebelah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, sebelum itu, sepasukan polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dapat menahan enam lelaki berusia di antara 19 dan 27 tahun yang khayal dadah ketika menyerbu rumah tersebut.

Katanya, empat ditahan di ruang tamu manakala dua lagi ditahan di dalam bilik. Ketika itu mereka sedang berpesta menghisap syabu.

“Soal siasat mendapati, ada dua lagi rakan mereka yang telah melarikan diri melalui balkoni. Apabila ditinjau, polis mendapati, salah seorang daripada mereka telah terbaring di atas laluan pejalan kaki dalam keadaan berlumuran darah.

“Polis kemudian bergegas turun tetapi mendapati suspek telah mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya yang turut merampas syabu seberat 0.5 gram pada sidang akhbar di sini semalam./kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan