Selasa, 21 Disember 2010

Dua ‘spiderman’ sembunyi atas siling flat dicekup

KUALA LUMPUR: Tindakan ala ‘spiderman’ dua lelaki berusia awal 20-an yang memanjat Flat Sri Johor setinggi lima tingkat di sini, untuk bersembunyi atas siling tidak membuahkan hasil apabila mereka dicekup polis awal pagi semalam.

Sebelum kejadian jam 2 pagi itu, kedua-dua suspek dipercayai cuba memanjat untuk memecah masuk rumah penduduk di kawasan itu.

Menyedari kelibat mereka diperhatikan orang awam, mereka cuba bersembunyi atas siling flat berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Sumber berkata, polis yang dimaklumkan penduduk mengenai kejadian itu segera ke kawasan berkenaan dan menahan kedua-dua suspek yang bersembunyi.

“Pada mulanya, hanya seorang suspek dicekup atas siling berkenaan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan.

“Namun, sejam kemudian rakan suspek yang menyangka polis sudah meninggalkan kawasan berkenaan terjerat apabila ditahan sejurus keluar daripada tempat persembunyian,” katanya.

Sumber itu berkata, polis turut merampas barangan seperti pemutar skru dan kunci pendua yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah penduduk./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan