Khamis, 16 Disember 2010

Janin ditemui ditanam, wanita ditahan

KUANTAN: Polis menahan seorang wanita berumur 20 tahun selepas menemui janin berusia kira-kira empat bulan yang ditanam di sebelah sebuah rumah di FELDA Selancar 6, Rompin, semalam.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ASP Noor Asyikin Shamsuri, berkata anggota polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai perkara itu pada 11.45 pagi.

Beliau berkata, polis yang memeriksa kawasan itu kemudiannya menemui janin yang dipercayai berusia empat bulan, ditanam di sekitar kawasan rumah wanita berkenaan.

"Hasil soal siasat, wanita itu mengaku yang dia mengalami sakit perut pada hari Selasa lalu sebelum berlaku keguguran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, suspek yang panik dengan kejadian itu menghubungi seorang rakan lelaki yang turut sama membantunya menanam janin berkenaan.

Noor Asyikin berkata, wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut./BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan