Ahad, 19 Disember 2010

Lelaki curi CD dipenjara 24 jam

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM600 di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri pelbagai barang termasuk beberapa keping cakera padat (CD) lagu Krismas di sebuah pasar raya, lima hari lalu.

Majistret Aidatul Akmal Maharani menjatuhkan hukuman itu selepas Koong Boon Chung, 30, mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah bersama seorang wanita yang dipercayai isterinya kelihatan hanya menundukkan wajah ketika hukuman itu dijatuhkan.

Boon Chung didakwa mencuri empat keping cakera padat lagu Krismas pelbagai tajuk, beberapa helai baju dan barang permainan kanak-kanak yang keseluruhan bernilai RM499.00 di Pasaraya Jusco, Midvalley, Brickfields di sini, jam 4.30 petang, 13 Disember lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda atau boleh juga disebat untuk kesalahan kali kedua dan berikutnya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bertugas di tingkat satu bahagian permainan kanak-kanak, ternampak tertuduh berada dalam keadaan mencurigakan bertindak mengekori mangsa dan ternampak Boon Chung mengambil beberapa barang mainan kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam beg berwarna coklat.

Tertuduh juga mengambil beberapa helai baju di bahagian baju lelaki dan kemudian dilihat ke kawasan cakera padat dan mengambil beberapa keping cakera padat sebelum keluar daripada pasar raya itu tanpa membuat sebarang pembayaran. Ketika ditahan di luar pasar raya itu, Boon Chung gagal mengemukakan resit pembelian dan mengaku mencuri barang itu.

Terdahulu Boon Chung dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya dikurangkan dengan mengambil kira dia perlu menyara dua anak dan isteri.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hassan Ramli memohon hukuman setimpal dikenakan tertuduh, untuk memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh malah kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa hadapan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan