Ahad, 19 Disember 2010

Perompak tetak kaki mangsa

PORT DICKSON: Seorang pekerja syarikat penapis minyak melalui detik mencemaskan apabila disamun dan kakinya ditetak penjenayah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gelam, tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, mangsa R Rajendran, cedera di kaki kiri dan rantai emas miliknya turut dilarikan penjenayah terbabit.

Menurut Rajendran, ketika kejadian, dia berjalan kaki seorang diri dari tempat kerja dan dihampiri dua lelaki menunggang sebuah motosikal.

“Dua lelaki itu menolak saya hingga jatuh dan bertanyakan sama ada saya mempunyai wang atau tidak.

“Saya memberitahu tidak mempunyai wang dan lelaki itu terus meragut rantai leher yang saya pakai,” katanya, semalam.

Menurutnya, selepas mendapat rantai leher itu, suspek yang lain pergi ke arah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari situ sebelum kembali semula dengan sebilah parang.

Katanya, lelaki terbabit menetak kaki kirinya dengan parang walaupun dia merayu supaya tidak dicederakan.

“Selepas menetak saya, dua lelaki itu terus melarikan diri dan meninggalkan saya yang kesakitan seorang diri di situ.

“Saya bernasib baik kerana sebuah kenderaan melalui tempat kejadian dan meminta bantuannya,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan