Jumaat, 24 Disember 2010

Lapan bersalah hadapi tuduh merogol

KUALA KANGSAR: Lima remaja dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, di sini, semalam, setelah didapati bersalah melakukan kesalahan rogol terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada dua tahun lalu.

Seorang lagi pesalah dikenakan hukuman penjara selama empat tahun manakala dua lagi tertuduh akan mendengar keputusan Mahkamah pada tarikh berasingan kerana masih di bawah umur.

Kesemua remaja berusia dalam lingkungan umur 19 hingga 26 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah pondok berhampiran kawasan perkuburan kira-kira jam 10 malam di Kampung Ara Panjang pada 12 Januari 2008.

Hakim Mahkamah Kuala Kangsar, Nor Salha Hamzah menjatuhkan hukuman itu setelah melakukan penelitian terhadap semua aspek dan pihak peguam bela juga gagal menimbulkan sebarang keraguan dalam kes berkenaan bagi membuktikan tertuduh tidak bersalah.

Bagaimanapun, berdasarkan rekod kesemua tertuduh yang baru sahaja melakukan kesalahan pertama dan faktor umur masih muda, kesemua mereka dikecualikan daripada dikenakan hukuman sebat.

Hukuman yang dikenakan berkuat kuasa daripada tarikh tangkapan dan semua mereka dibenarkan bebas dengan ikat jamin tambahan sebanyak RM1,000 daripada ikat jamin asal yang bernilai RM4,000 hingga RM8,000.

Ikat jamin berkenaan dibenarkan sementara menunggu pesalah membuat rayuan ke Mahkamah tinggi bagi mengurangkan hukuman yang dikenakan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376, 354, 377B Kanun Keseksaan.

Pada pertuduhan asal, seramai sembilan dituduh, tetapi seorang daripadanya berjaya menunjukkan keraguan dalam keterangan saksi dan dibebaskan./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan