Jumaat, 12 Ogos 2011

Warga Emas Mati, Isteri Cedera Ditetak

ALOR SETAR, 12 OGOS: Seorang lelaki berumur 60 tahun mati ditetak dengan parang oleh anggota keluarga terdekatnya manakala isteri cedera dalam satu kejadian sejurus sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Kampung Pasir Putih di Kuala Nerang dekat sini Khamis malam.

Dalam kejadian sekitar 7 malam tadi, Seman Siron, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan di kepala, putus pergelangan kaki kanan selain cedera di kedua-dua belah tangannya manakala isterinya, Hasmah Abdul Majid, 58, cedera di belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Ku Yaacob Ku Hamad dipetik Bernama Online berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun memarahi anak-anak saudaranya yang membuat bising ketika mereka sedang menunggu untuk berbuka puasa.

“Apabila Seman menegurnya supaya tidak memarahi cucu-cucunya, suspek naik angin lalu mengambil parang dan menetak Seman di bahagian tengah kepala dan kakinya.

“Kedua-dua belah tangan mangsa turut cedera kerana dipercayai cuba menahan tetakan,” kata beliau.

“Suspek turut menetak Hasmah di belakang kepala. Ketika kejadian ada lapan orang di dapur rumah itu termasuk tiga kanak-kanak berusia enam, lapan dan 11 tahun manakala dua lagi adalah anak pasangan itu,” katanya.

Seman dan Hamsmah dibawa oleh anak mereka ke Hospital Kuala Nerang tetapi Seman meninggal dunia pada 7.30 malam dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Hasmah masih dirawat di Hospital Kuala Nerang dan terpaksa menerima lima jahitan. Keadaannya dilaporkan stabil./tvs

Tiada ulasan:

Catat Ulasan