SEREMBAN: Seorang kelindan lori ditemui mati dengan kepalanya berlumuran darah di dalam bilik air sebuah rumah di Taman Seremban Jaya di sini, kelmarin.
Difahamkan, mayat mangsa, C Nanthakumar, 20-an, dijumpai dalam keadaan terbaring seorang rakannya, kira-kira jam 6.30 pagi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala.
“Mayat mangsa ditemui seorang rakannya yang datang ke rumah berkenaan sebelum membuat laporan polis.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai berseorangan dalam rumah berkenaan yang juga milik seorang rakannya,” katanya di sini, semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati keadaan rumah tidak berselerak dan tiada sebarang tanda dimasuki penjenayah.
“Buat masa ini, kami belum menemui sebarang senjata dan sedang mengenal pasti berapa ramai suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Namun, kami sudah menemui beberapa petunjuk selepas menyoal siasat rakan mangsa dan saksi,” katanya.
Kata Zazali, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan