BANDARAYA MELAKA: Seorang tukang cat ditemui mati dalam keadaan tergantung di pintu bilik rumahnya di Kampung Tengkera Pantai 2, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa, Lee Poh Wai, 61, yang masih bujang ditemui mati oleh salah seorang adiknya yang juga tinggal di rumah sama.
Anak saudara mangsa, Lee Kok Leong, 41, berkata, mangsa mungkin bertindak menggantung diri selepas mengalami tekanan akibat derita sakit jantung dialaminya.
“Sejak keluar dari wad Hospital Melaka, malam semalam selepas dimasukkan sejak 22 Julai lalu, bapa saudara saya itu kelihatan murung dan tidak lalu makan,” katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila seorang lagi bapa saudara yang tinggal bersamanya, Lee Poh Kuen, 50, menelefon memberitahu mangsa ditemui tergantung di pintu bilik.
“Sebelum mangsa ditemui tergantung, Poh Kuen cuba mengetuk pintu biliknya untuk sarapan pagi, setelah dia tidak berselera makan sejak keluar hospital,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi memberitahu kes disiasat sebagai mati mengejut./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan