IPOH: Seorang peniaga warga emas maut selepas dikelar di bahagian leher dalam kejadian samun dan bunuh di Taman Buntong Ria, awal pagi semalam.
Kejadian ini adalah kes bunuh ketiga membabitkan kejadian samun dalam tempoh seminggu di Perak.
Ketika kejadian, mangsa, Looi Kim Loong, 67, berada di rumah bersama isteri dan anaknya sebelum rumah mereka dimasuki dua lelaki tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa yang ketika itu berada di bilik tidur berasingan ditemui mati ahli keluarganya kira-kira jam 2.10 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, isteri dan anaknya mendengar bunyi bising dan selepas masuk ke bilik mereka mendapati mangsa sudah terbaring dengan kesan cedera di bahagian leher.
“Isteri dan anak mangsa yang berusia dalam lingkungan 60 dan 30-an itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dipercayai turut dilakukan suspek berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Mohd Dzuraidi berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian leher mangsa dipercayai di kelar dengan objek tajam.
“Mayatnya di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Selain itu, beberapa botol arak turut ditemui di hadapan rumah mangsa namun kami tidak pasti jika suspek mabuk melakukan pembunuhan itu,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti sama ada terdapat barang yang hilang dalam kes berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di nombor telefon 05-245 1222 untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
Kelmarin, ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Ir Donald Lim, Teoh Ah Nya@Teoh Kooi Lan, 73, ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Tanjung Piandang, Parit Buntar.
Mayat mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian leher dipercayai dipukul dengan objek keras.
Bagaimanapun, suspek seorang warga asing berusia 25 tahun berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam.
Manakala Khamis lalu, Timbalan Pengarah Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapuri Permai Lake View Tambun.
Mayat Dr Rohani ditemui dalam gulungan selimut oleh seorang pengawal keselamatan yang melakukan rutin rondaan di pangsapuri itu.
Sehubungan itu, empat suspek termasuk seorang posmen dan anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan