Sabtu, 20 Ogos 2011

Remaja cabul ke Henry Gurney

KLANG: Mahkamah Majistret di sini semalam, memerintahkan seorang remaja menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak Henry Gurney di Melaka kerana mencabul anak jirannya.

Majistret Afifah Yusof memerintahkan remaja berusia 16 tahun itu menjalani pemulihan tersebut sehingga berusia 21 tahun.

Terdahulu, remaja yang tidak bersekolah itu didapati bersalah mencium kepala dan dahi serta membuka pakaian kanak-kanak berumur lapan tahun yang juga jirannya, di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Ubudiah, Jalan Perajurit, Telok Gong, Pandamaran di sini, antara 6.49 petang dan 7.10 malam pada 25 Oktober 2010.

Pada awalnya peguam, Nur Shakimah Harun memohon remaja itu dikawal untuk berkelakuan baik oleh ibu bapanya tetapi panel penasihat juvana, Masdar Mohd Husni dan Saliyah Ahmad mengesyorkan remaja berkenaan dihantar ke sekolah tersebut untuk pemulihan.

Mengikut keterangan, remaja terbabit diminta menghantar dan menjemput kanak-kanak itu dari sekolahnya oleh nenek mangsa.

Bagaimanapun pada hari kejadian, selepas menjemput mangsa, dia membawa mangsa ke tempat itu dan mencabul mangsa.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit ditumbuk hingga pengsan dan selepas panik melihat keadaan mangsa, remaja itu bertindak menutup mangsa dengan pelepah sawit dan meninggalkannya di ladang itu.

Pada keesokan hari, mangsa yang masih pengsan ditemui dalam keadaan bogel oleh orang awam kira-kira jam 2 petang.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami calar hampir seluruh badan, lebam di bibir, dagu, pipi dan muka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon, Nizi Shahril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan