AYER KEROH: Gara-gara berang dengan tindakan jurukamera penyiaran merakam wajahnya, seorang tertuduh kes cabul bertindak menolak kamera dan mengejar jurukamera terbabit sebelum anggota polis datang menenangkan keadaan.
Tindakan tertuduh, M Ayasami, 54, membuatkan mahkamah yang sunyi bertukar menjadi kecoh seketika sebelum prosiding kes membabitkan tertuduh bermula di Mahkamah Majistret 1, di sini, semalam.
Tertuduh hadir bersama anak perempuannya di mahkamah untuk mendengar keputusan di akhir kes pembelaan selepas dibenarkan ikat jamin RM3,000 ketika pertama kali dituduh pada 3 Ogos tahun lalu.
Ayasami akhirnya dijatuhkan penjara dua tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret kerana mencabul seorang penumpang teksinya, tahun lalu.
Hukuman dijatuhkan Majistret Muzila Mohamed Arsad selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah ketika tertuduh memberi keterangan bersumpah selepas diarahkan mahkamah untuk membela diri pada 4 April 2011.
Berdasarkan pertuduhan, Ayasami didapati mencabul seorang perempuan berusia 24 tahun dengan meraba seluruh bahagian badan daripada pusat hingga ke leher dengan niat hendak mencabul kehormatan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh yang juga bekerja sebagai pemandu teksi di dalam kenderaannya ketika perjalanan dari Bukit Baru ke Jalan Munshi Abdullah kira-kira jam 7.43 pagi pada 30 Julai 2010.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah yang mendapati tertuduh bersalah menyatakan keterangan ‘after thought’ tertuduh, antara faktor pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampau terhadap pihak pendakwaan.
Peguam bela Ng Fun Boon memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sakit kerana pernah diserang strok, selain tidak mempunyai rekod jenayah serta faktor usia lanjut./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan