SHAH ALAM: Dua pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menetak pergelangan tangan seorang pelajar berusia 16 tahun hingga putus.
P Krishnan, 28 dan S Pergas, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
Mereka bersama tiga lagi yang masih bebas, didakwa mendatangkan kecederaan parah menggunakan parang kepada N R Yosaraj di kawasan gelanggang badminton, Jalan 15 E, Taman Bukit Terantai, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada jam 9.30 malam, 22 Julai lalu.
Kes dikendalikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun boleh dikenakan denda atau sebatan.
Timbalan pendakwa raya, Che Rohana Ismail tidak menawarkan sebarang ikat jamin kerana Yosaraj mengalami kecacatan kekal akibat perbuatan mereka.
Rohana berkata, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin tersebut, jumlah harus tidak kurang RM20,000.
Krishan dan Pergas yang diwakili peguam Rejindor Singh berkata, kejadian ini berpunca daripada satu pergaduhan antara mangsa dan anak guam.
Rejindor mencadangkan agar jaminan RM7,000 adalah munasabah bagi Krishan dan Pergas kerana mereka masing-masing menanggung keluarga.
Mohammed Mokhzani membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 September depan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan