Seorang peniaga kecil-kecilan dari Pulau Tioman dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Pekan hari ini kerana dituduh membunuh pelancong wanita warga negara Perancis, Stephanie Foray.
Asni Omar, 36, menyatakan faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Emma Shahriana Ali. Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan daripada tertuduh direkodkan.
Dia dituduh membunuh Foray, berumur lebih kurang 30 tahun, di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman antara 8 malam 10 Mei dan 12 tengah hari 12 Ogos lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Emma Shahriana kemudian mengarahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar.
Foray yang berasal dari Bour En Bresse, Perancis, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas, dan susulan laporan polis oleh keluarga wanita itu menerusi wakil kedutaan Perancis, siasatan mendapati Foray ke Pulau Tioman pada 10 Mei dan tidak pernah mendaftar keluar.
Mengikut laporan media, siasatan lanjut polis membawa kepada penemuan rangka manusia yang dipercayai Foray, ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di kampung itu pada 8 Ogos lepas./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan