Rabu, 31 Ogos 2011

Ibu curi untuk anak

KAJANG: Hanya kerana mahukan anaknya memakai baju baru, seorang wanita mencuri beberapa pakaian dan barangan permainan bernilai RM597 di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat seorang pelanggan dalam keadaan mencurigakan di bahagian pakaian kanak-kanak.

Menurutnya, pengawal terbabit mengekori suspek yang masuk ke bilik persalinan bersama beberapa pakaian, tetapi suspek tidak mengetahui perlakuannya diperhatikan.

Katanya, tidak lama kemudian, suspek keluar, tetapi pakaian yang dibawa ke dalam bilik berkenaan tiada bersamanya.

“Mengesyaki suspek mencuri pakaian, pengawal berkenaan mengekori suspek hingga ke tempat letak kereta sebelum menahannya.

“Pengawal berkenaan mendapati beberapa baju dan seluar kanak-kanak serta mainan disembunyikan dalam beg suspek,” katanya.

Katanya, suspek dibawa ke pejabat pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk diambil keterangan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis sudah mengambil keterangan suspek yang mengaku mencuri pakaian berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan