KESAL...Sham mendedahkan perbuatan keluarga bekas isterinya kepada wartawan Harian Metro.
KUALA LUMPUR: Disebabkan tidak mahu bapa kandung menjadi wali pernikahannya, seorang gadis bersekongkol dengan ibunya membuat pengisytiharan palsu di mahkamah syariah dengan mengaku anak luar nikah untuk mendapatkan wali hakim.
Semuanya dipercayai berlaku kerana ibu gadis itu masih berdendam dengan bekas suaminya berikutan kegagalan rumah tangga mereka, seterusnya menghasut anak perempuannya mengetepikan hak bapa kandung dalam urusan pernikahan.
Mengejutkan apabila perancangan mungkar dua beranak itu mendapat sokongan nenek, datuk, bapa tiri dan bakal suaminya. Lebih mengecewakan apabila tanpa soal siasat terperinci, jurunikah menikahkan pasangan terbabit hanya dengan melihat surat pengisytiharan dikemukakan gadis terbabit.
Pasangan itu tinggal sebumbung sejak 2009 dan kini bapa kandung dengan bantuan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) berusaha untuk memfaraq atau memisahkan mereka kerana meragui status perkahwinan mereka.
Mendedahkan perkara itu, bapa kandung wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sham, 43, berkata perancangan songsang anggota keluarga bekas isterinya itu diketahui menerusi anak lelakinya.
“Hasil perkahwinan saya dengan bekas isteri, kami dikurniakan dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Hubungan saya dengan anak serta keluarga bekas isteri baik kerana saya kerap mengunjungi mereka, membawa anak-anak keluar, malah saya dan bekas isteri memulakan hidup baru apabila masing-masing berkahwin lain.
“Sehinggalah anak lelaki saya memberitahu adik perempuannya akan berkahwin dan keluarga ibunya merancang menafikan hak saya sebagai wali,” katanya yang ditemui, semalam.
Terkejut dengan pendedahan itu, Sham berkata, dia mengadakan pertemuan dengan keluarga bekas isterinya termasuk anak perempuan dan bakal menantunya pada hujung 2009.
“Saya marah kerana rancangan mereka jelas penipuan dan bertentangan hukum syarak, malah saya bersedia menjadi wali kepada anak perempuan kerana dia satu-satunya anak perempuan saya.
“Saya anggap mereka faham, malangnya kira-kira sebulan selepas pertemuan itu, saya mendapat tahu anak perempuan saya sudah berkahwin dengan mengisytiharkan dirinya sebagai anak tidak sah taraf. Dengan izin Allah juga, saya nampak gambar anak perempuan saya yang berpakaian pengantin di facebook.
“Saya berusaha mendapatkan penjelasan daripada jurunikah, kenapa terlalu mudah menikahkan wanita yang mengaku anak luar nikah. Saya bertanya kenapa dia tidak menyoal pengantin perempuan sama ada dia mempunyai adik-beradik dan dengan selamba dia menjawab tidak,” katanya.
Tidak puas hati dengan penjelasan itu, Sham menghubungi pejabat agama Islam negeri tempat anaknya bernikah meminta pihak penguat kuasa agama segera memfaraqkan perkahwinan berkenaan.
“Saya sekali lagi terkilan apabila pegawai berkenaan meminta saya melantik peguam jika mahu berurusan dengannya.
“Apa yang berlaku sekarang ialah hukum Islam dipermainkan, tapi orang yang diberi tanggungjawab menjaganya mengambil sikap mudah. Saya mengambil masa dua tahun untuk mengumpul bukti bagi memisahkan anak saya dengan pasangannya yang melanggar hukum syarak, mujur SukaGuam mahu membantu saya dalam urusan ini,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan