SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut setelah ditikam bertubi-tubi di bahagian dada oleh seorang peniaga sebuah kedai runcit di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini, Jumaat.
Mangsa S. Periyanaiker, 19, dikatakan pergi ke kedai runcit berkenaan yang berdekatan rumahnya untuk membeli rokok apabila peniaga kedai runcit itu mengamuk lalu menikamnya dengan pisau.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 malam dan ketika itu mangsa tiba di kedai runcit berkenaan, peniaga yang berusia 53 tahun itu sedang minum minuman keras bersama seorang rakannya.
"Apabila mangsa sampai kedai runcit ini peniaga tersebut enggan menjual rokok kepada mangsa sebab sibuk melayan rakannya yang sedang minum dengannya pada waktu itu. "Tetapi mangsa tetap degil untuk membeli rokok sehingga menyebabkan peniaga ini tidak puas hati dan bergaduh dengan mangsa lantas bertindak agresif menikam mangsa bertubi-tubi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Katanya mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu, namun mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Katanya beberapa orang kenalan mangsa yang tidak berpuas hati setelah mengetahui kejadian itu yang melibatkan rakan mereka, lantas bertindak membalas dendam dengan menikam peniaga itu pada masa yang sama.
"Peniaga tersebut turut mengalami kecederaan akibat ditikam oleh beberapa lelaki itu dan suspek kemudian dihantar ke HSAH dengan ambulans," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis DaerahKuala Muda ACP Hashim Ali mengesahkan kejadian itu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kini polis melancar gerakan bagi memburu beberapa orang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan