Ahad, 14 Ogos 2011

Tindakan pantas bapa gagalkan cubaan culik

BESUT: Tindakan pantas seorang bapa melaporkan kepada polis kejadian anak gadisnya dilarikan oleh tiga pemuda yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berjaya menyelamatkan anaknya itu daripada menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 9.15 malam semalam, bapa berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh itu terdengar jeritan anak gadisnya yang ketika itu sedang membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumah mereka di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.

“Apabila keluar dari rumah, dia ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menarik anak gadis berumur 15 tahun itu ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak yang juga dinaiki dua lelaki lain.

"Tergamam dengan kejadian itu, si bapa tidak sempat mengejar kereta itu kerana ia berlaku terlalu pantas dan segera membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut sejurus kejadian berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bertindak atas laporan, satu operasi dilancarkan dengan bantuan orang ramai dan akhirnya polis berjaya menahan dua lelaki kira-kira pukul 2.30 pagi ini hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manok, Pasir Putih di Kelantan iaitu kira-kira 20 kilometer daripada tempat mangsa diculik./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan