Khamis, 25 Ogos 2011

Dituduh membunuh tanpa niat

TEMERLOH: Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang pemandu lori menjalani pemeriksaan mental selepas dituduh membunuh tanpa niat bapanya di Jalan Bahagia di sini Julai lalu.

Majistret Siti Hajar Mustaffa mengarahkan tertuduh G.Kalai Kumar, 41, membuat pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Tampoi, selepas dituduh tanpa niat membunuh bapanya P.Goppal, 69, selepas pertengkaran akibat masalah kewangan keluarga.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh, bapa kepada lima anak yang kematian isteri 13 tahun lalu didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Julai 2011 kira-kira jam enam petang di rumah keluarganya dekat Jalan Bahagia di sini.

Ketika kejadian, ibu tertuduh sedang bertengkar dengan bapanya mengenai masalah kewangan. Tertuduh kemudian masuk campur dan cuba mempertahankan ibunya lalu berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan mangsa.

Pertengkaran yang berlaku kemudian semakin panas dan berlaku tolak menolak mengakibatkan kepala si bapa terhantuk pada dinding rumah.

Selepas pertengkaran berakhir mangsa mengadu sakit kepala dan dihantar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Selepas 10 hari tidak sedarkan diri, mangsa kemudian meninggal dunia dan doktor mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan di kepala akibat trauma tumpul. Doktor juga tidak menolak kemungkinan ada tamparan kuat menyebabkan pendarahan dalam otak mangsa.

Laporan polis berkaitan kejadian dibuat abang mangsa pada hari kejadian. Mahkamah memerintahkan kes disebut semula pada 27 September ini bagi menunggu laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan semalam dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Rashidi Abd Rahim. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan