KLUANG: Tiga kanak-kanak meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditolak ke dalam sebuah kolam takungan air oleh bapa mereka dalam kejadian di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd. Fawzi Arshad berkata, dua kanak-kanak perempuan berumur tiga dan lima tahun serta adik lelaki mereka, berusia dua tahun, dipercayai ditolak ke dalam kolam kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada 7.30 malam.
"Ketiga-tiga beradik itu dipercayai dibawa ke kolam berkenaan oleh bapa mereka yang berumur 29 tahun dengan alasan untuk memancing ikan sebelum ditolak dan mati lemas,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.
Mohd. Fawzi berkata, pusat kawalan IPD Kluang menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.20 malam sebelum meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.
Beliau berkata, mayat kesemua kanak-kanak yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira satu setengah jam kemudian./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan