BUKIT BERUANG: Panik dan takut melihat keadaan bayinya tidak sempurna dipercayai mendorong seorang wanita 24 tahun membuang mayat bayi berkenaan ke dalam tong sampah sebuah pangsapuri di Taman Sri Lanang.
Bagaimanapun, bayi tidak cukup bulan (enam bulan), yang dipercayai dilahirkan secara songsang malam Selasa lalu itu, ditemui tanpa kepala oleh polis di tempat pembuangan sampah pangsapuri berkenaan selepas satu laporan dibuat setelah wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, wanita terbabit melahirkan bayi itu secara bersendirian di rumah sewanya.
Menurutnya, wanita terbabit mengalami pendarahan teruk selepas melahirkan anaknya dan bertindak menghubungi ibunya untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Difahamkan, ibu wanita terbabit membawanya ke hospital kira-kira jam 9 malam Selasa lalu dan polis kemudiannya telah dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, semalam.
Raja Shahrom, susulan maklumat yang diterima, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian dan berjaya menemui mayat bayi tanpa kepala itu di tempat pembuangan sampah sebuah pangsapuri.
Bagaimanapun menurutnya, polis masih gagal mengesan kepala bayi berkenaan.
“Polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan