Rabu, 31 Ogos 2011

Buang anak dalam sampah

SANDAKAN: Di mana hilangnya nilai kemanusiaan seorang ibu apabila membuang bayi di tempat pembuangan sampah ketika umat Islam membuat persiapan akhir menyambut ketibaan 1 Syawal.

Lebih malang, mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat itu hanya dibalut plastik hitam dan dipercayai baru dilahirkan itu ditemui berhampiran bazar Ramadan di belakang sebuah pasar raya, di sini, semalam.
 
Mayat bayi itu ditemui tukang sapu Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Hajjah Kijar, 60, ketika membuang sampah di tempat pembuangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marung, berkata mayat bayi itu ditemui tukang sapu ketika membersihkan kawasan berkenaan, kira-kira jam 2.20 petang.

Menurutnya, pekerja terbabit terkejut apabila melihat satu plastik hitam yang mencurigakan ketika mahu membuang sampah ke dalam tong di kawasan itu.

“Lelaki terbabit memeriksa plastik itu dan terkejut apabila menemui mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat di dalamnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Rowell, tukang sapu itu membuat aduan kepada dua anggota polis yang bertugas di bazar Ramadan di kawasan itu.

Rowell berkata, beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati bayi itu mempunyai kesan darah dan bertali pusat. “Bayi cukup sifat ini dibalut dengan plastik hitam, namun tiada kesan kecederaan lain ditemui pada tubuhnya dan mayat itu sudah dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk dibedah siasat dan usaha mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi terbabit giat dijalankan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318, Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, Inspektor Joseph Anak Jumit di talian 019-8052069 bagi membantu siasatan,” katanya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan