KAJANG: Seorang wanita terkejut apabila dimaklumkan pembantu rumahnya dirogol bergilir-gilir dua lelaki bertopeng yang menceroboh kediaman mereka, di Bandar Mahkota Cheras, di sini, awal pagi Sabtu lalu.
Menurut sumber, wanita terbabit yang terjaga daripada tidur kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar bunyi amahnya yang juga warga Indonesia berusia awal 30-an sedang menangis teresak-esak di dapur rumah.
Wanita berusia 51 tahun itu kemudian menanyakan punca sebenar mangsa menangis, namun pembantu rumah itu tidak menjawab dan hanya menangis.
Sebaik didesak, mangsa mengaku diperkosa dua lelaki bertopeng yang mahu menyamun rumah majikannya itu.
“Sebelum kejadian, mangsa yang sedang tidur dikejutkan bunyi salakan anjing majikannya kira-kira jam 2.30 pagi di belakang rumah dan cuba memeriksa apa yang berlaku sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bertopeng yang kemudian mengacu pisau di lehernya.
“Seorang daripada suspek mengugut akan mencederakan mangsa jika membuat bising dan mengarahkannya menuruti segala kemahuan mereka,” katanya.
Menurutnya, suspek turut mengugut akan menyamun rumah majikannya itu sekiranya dia enggan memuaskan nafsu mereka berdua.
Suspek kemudian memaksa mangsa membawa mereka ke biliknya sebelum merogol mangsa.
“Mangsa hanya mampu berserah dan membiarkan dua lelaki terbabit melampiaskan nafsu mereka kerana bimbang sesuatu yang lebih buruk akan berlaku berikutan suspek bersenjata,” katanya.
Beliau berkata, selepas selesai merogol, suspek terus beredar meninggalkan mangsa dan rumah berkenaan tanpa mengambil barangan berharga dari rumah itu.
Majikan terbabit yang terkejut dengan kejadian itu terus membawa mangsa ke Balai Polis Kajang untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan