Ahad, 27 November 2011

Warga Pakistan dicekup khalwat

Khalwat
AMPANG: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dan pegawai Masjid Al-Azim kerana berkhalwat de­ngan seorang wanita warga Filipina di sebuah rumah kedai di Taman Kosas, semalam.

Pekerja kontraktor itu dicekup di bilik sewa kira-kira jam 3 pagi bersama wanita berusia 28 tahun itu.

Operasi tersebut dijalankan setelah pihak pegawai Masjid Al-Azim, menerima maklumat orang awam me­ngenai kehadiran wanita bukan Muslim di rumah berkenaan.

Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ahmad Nawi Osman berkata, beliau dan anggotanya mengetuk pintu kediaman tersebut beberapa kali, sebelum pintu rumah dibuka rakan lelaki berkenaan.

“Kami mendapati lima lelaki sedang tidur di ruang tamu, manakala pasangan berkenaan tidur di se­buah bilik,” katanya.

Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun itu hanya berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita itu memakai baju tidur.

“Wanita itu bekerja sebagai pembantu rumah telah mendiami rumah itu, selama dua minggu. Kami mengarah­kan wanita itu meninggalkan rumah tersebut, manakala lelaki itu diwajibkan hadir ke Masjid Al-Azim untuk sesi kaunseling esok,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi ini di bawah Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan