Rabu, 23 November 2011

3 beradik didakwa merompak

KUANTAN: Tiga beradik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan merompak tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Norhasri Abd Wahab, 25, abangnya, Mohd Norhisham, 27, dan abang tiri mereka, Khaizuan Khairi, 34, masing-masing dari Kampung Sungai Batu, di sini, didakwa merompak Ngo Chit Ling, 64, di sebuah kedai perabot di Taman Abdul Rashid, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini, jam 4 petang, 26 April tahun lalu.

Dalam rompakan itu, ketiga-tiga tertuduh merampas wang tunai RM1,000 daripada mangsa selepas mengugutnya dengan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian dan mengundang ketakutan.

Sementara itu, Muhammad Norhasri dan Khaizuan turut berdepan satu lagi tuduhan rompakan berkumpulan di sebuah kedai runcit di Balok, di sini, 2 Mei 2010.

Kedua-duanya didakwa merompak Zuleha Awang, 47, jam 1.40 tengah hari menyebabkan mangsa kerugian RM2,110 selepas tertuduh melarikan wang tunai RM1,100, kad tambah nilai telefon bimbit dan tembakau.

Mangsa turut diancam dengan pisau lipat yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah jika tidak menyerahkan wang tunai.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah selepas tuduhan dibaca jurubahasa di depan Hakim Mohd Azhar Othman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hidayatul Syuhada Syamsuddin.

Mahkamah kemudian mengarahkan Muhammad Norhasri dan Khaizuan dikenakan ikat jamin masing-masing RM12,000 terhadap dua pertuduhan manakala Mohd Norhisham dikenakan ikat jamin RM6,000 dan menetapkan 21 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan