Rabu, 9 November 2011

Cucu nyaris maut dibaling pisau

HASNIZA HUSSAIN
November 7, 2011
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun nyaris maut, selepas pisau dibaling neneknya sendiri, tersasar mengenai kepalanya dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Ampang, di sini, petang kelmarin.

Wanita warga emas itu yang ketakutan terus keluar dari rumah dan berlari ke bangunan berdekatan di Mutiara Court di Jalan Seri Merdeka 1, di sini, sebelum nekad terjun dari tingkat tiga bangunan terbabit dan ditemui mati kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran kecil antara wanita warga emas itu dengan menantunya berusia 40 tahun iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit.

Wanita warga emas itu, Lim Sim Meo, 80, dikatakan naik berang dan terus meluru ke dapur mengambil pisau pemotong daging dan membaling ke arah menantunya, namun tersasar dan mengenai kepala cucunya yang sedang tidur.

Kanak-kanak itu mengalami pendarahan teruk akibat kejadian, namun dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek yang sudah 10 tahun tinggal bersama menantu dan anak lelakinya di kediaman teres itu, disahkan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan yang dibuat oleh menantu suspek kelmarin, mendakwa ibu mertuanya menetak anak perempuan berusia tiga tahun tanpa sebab ketika hendak keluar makan serta menghantar anak sulungnya berusia 10 tahun ke pusat tuisyen kira-kira jam 11.15 pagi.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan kita setakat ini masih belum dapat menentukan motif sebenar kejadian.

“Kita akan ambil keterangan menantu serta anak lelaki suspek dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut. Mayat suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui semalam./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan