Isnin, 28 November 2011

‘Sedar-sedar parang dah ada di leher’

REMBAU: “Kami sekeluarga yang tidur nyenyak di bilik tidak mendengar bunyi bising seolah-olah dipukau sedangkan tombol pintu bilik anak lelaki saya dipecahkan menggunakan tong gas.

“Sejurus tersedar, saya terkejut melihat parang berada di leher dan berasakan nyawa bagaikan berada di hujung tanduk,” kata Raja Mahadzir Raja Khalid, 55.

Rumahnya di Kampung Titian Akar, di sini, dipecah masuk sekumpulan lelaki awal pagi semalam. Sebelum ini, rumah seorang ibu tunggal di Kampung Sawah Raja berhampiran dipecah masuk dipercayai penjenayah sama, baru-baru ini.

Menceritakan detik cemas jam 4 pagi itu, Raja Mahadzir berkata, empat lelaki dipercayai warga asing melarikan wang tunai lebih RM2,000 termasuk barang kemas, jam tangan berjenama, kamera dan telefon bimbit.

Menurutnya, dia dan isteri terperanjat apabila mendapati dua lelaki berada di sisi katil dan meminta mereka mendiamkan diri serta menunjukkan tempat simpanan wang dan barang kemas.

“Selepas lelaki itu menyelongkar laci almari solek, mereka mengikat kaki dan tangan kami menggunakan tuala isteri yang dipotong menggunakan parang.

“Ketika itu, anak kami turut diikat dua lagi rakan mereka yang menyelongkar bilik berasingan,” katanya.

Raja Mahadzir berkata, keempat-empat lelaki itu berada di dalam rumahnya kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. “Saya kemudian segera membuka ikatan dan menghubungi polis. Selepas kejadian, saya menjumpai longgokan najis di bawah ampaian belakang rumah dipercayai najis penjenayah berkenaan,” katanya yang mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM10,000.

Katanya, berdasarkan dialek penjenayah itu, dia tidak menolak kemungkinan mereka warga asing.

“Saya berharap penjenayah terbabit diberkas secepat mungkin supaya kejadian seumpama itu tidak berulang,” katanya yang masih trauma. Beliau membuat laporan di Balai Polis Kota untuk tindakan selanjutnya./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan