Jumaat, 11 November 2011

Lelaki ditemui mati ditikam di bilik hotel

KUANTAN: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bilik sebuah hotel bajet di Jalan Mahkota di sini, hari ini.

Mayat Cheng Tien Weng, 37, dijumpai dalam keadaan tertiarap dan berselimut penuh oleh pekerja hotel yang ingin membersihkan bilik berkenaan pada pukul 9.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, Cheng yang beralamat di Jalan Bukit Ubi di sini dipercayai mula menginap di hotel itu sejak Rabu lepas bersama seorang rakan lelaki iaitu Lee Seng Kai, 30.

Seng Kai yang beralamat di Taman Impianku di sini dipercayai meninggalkan bilik berkenaan pada pukul 5.30 pagi ini, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati tiada kesan pergelutan berlaku selain tiada barang-barang mangsa yang didapati hilang.

Sehubungan itu katanya, polis kini sedang mengesan rakan mangsa terbabit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan polis percaya kejadian berlaku antara pukul 11 malam dan 5 pagi tadi.

Mayat Cheng dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan./Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan