Sabtu, 26 November 2011

Masalah keluarga punca gadis hilang

SHAH ALAM: Bukan diculik, tetapi masalah keluarga dipercayai punca kehilangan seorang gadis, Shirra Alissa Choo George, 19, yang gagal dihubungi sejak keluar rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, 14 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis percaya gadis tersebut tidak diculik kerana keluarganya setakat ini tidak menerima sebarang panggilan ugutan mahupun permintaan wang tebusan.

“Siasatan kes tersebut masih dijalankan dan sehingga kini polis sudah merakam percakapan lapan individu. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Dalam pada itu katanya, beliau menafikan laporan sebuah akhbar yang mengatakan Shirra Alissa dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta. Penuntut kolej di ibu negara itu dikatakan menghubungi ibunya sebelum dia dikesan hilang. Keluarga gadis itu cuba menghubunginya tetapi gagal dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Kehilangan Shirra Alissa turut mendapat liputan me­luas antaranya di Facebook dan beberapa blog./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan