KUALA LUMPUR: Suami setan. Itu gelaran yang layak diberi kepada seorang lelaki berusia 35 tahun kerana bukan sahaja mengupah samseng membelasah isterinya malah wanita itu turut dilarikan sehingga ke Betong, Thailand gara-gara perselisihan faham antara mereka.
Akibat kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Arina, 31, cedera di rusuk, dada dan tangan selain tekanan mental yang melampau.
Menurutnya, siri kesengsaraan hidupnya bermula pada 22 Oktober lalu, apabila dia menerima ugutan daripada seorang rakan suaminya malah diserang lelaki berkenaan dua hari kemudian ketika berada di tempat letak kereta di kediamannya di Jalan Sri Hartamas.
Ketika itu, katanya, suaminya itu bertindak sebagai penyelamat dan bagi membantunya keluar dari masalah, dia dibawa ‘ bercuti’ ke Seremban pada malam kejadian.
“Suami memaklumkan kami hanya akan berada beberapa jam di Seremban sebelum pulang ke rumah tetapi secara paksa saya dibawa ke Mersing, Johor pula.
“Meskipun saya merayu diberi rawatan dulu kerana kecederaan akibat diserang itu, dia tidak mempedulikan saya dan ketika itu, baru menyedari ia adalah rancangan kotornya,” katanya kepada Harian Metro, di sini semalam.
Beliau berkata, selepas bermalam sehari di selatan tanah air, dia dilarikan ke Kelantan pula keesokan harinya dan ketika itu dia cuba melarikan diri tetapi gagal selepas ditarik masuk ke dalam kereta sebelum kepalanya dihentak pada cermin kereta.
Katanya, selepas dua hari di Kelantan, dia dibawa balik ke Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang, suaminya bersetuju untuk berpisah secara baik serta tidak akan menderanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, janji hanya tinggal janji selepas lelaki itu ‘menculiknya’ semula dengan bantuan dua pengawal peribadi ke lokasi tidak diketahui selain telefon bimbitnya dirampas.
“Dalam perjalanan itu, kami singgah di kawasan Mont Kiara dan dengan alasan ingin ke tandas, saya cuba untuk melarikan diri tetapi gagal.
“Saya diheret sejauh 50 meter ke kereta dan apabila orang ramai cuba untuk menolong, suami menggunakan kuasanya sebagai suami untuk menghalang pertolongan dan saya dihumban ke dalam kereta,” katanya.
Arina berkata, perjalanan diteruskan ke kawasan selatan tanah air semula dan ketika berhenti di kawasan Senawang untuk berehat, mangsa cuba nasib sekali lagi melarikan diri namun selepas ditangkap, dia dipukul sehingga pengsan dan hanya sedarkan diri selepas sampai di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Katanya, pada 30 Oktober dia menyedari kenderaan dinaikinya sudah sampai di kawasan hulu Kedah dan nampak suaminya mengatur urusan menyeludupnya ke Betong, Thailand.
“Di sana, saya dikawal rapi oleh konco suami dan setiap hari saya akan dibelasahnya sehingga menjadi lemah untuk melawan.
“Pada 3 November, saya dibawa keluar dari Betong, Thailand sebelum dibawa ke Kuala Terengganu dan keesokannya dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Sebaik sampai di rumah, saya dilarang menghubungi sesiapa termasuk ahli keluarga dan rakan kerana bimbang kesengsaraan saya akan diketahui orang lain,” katanya.
Menurutnya, selepas dikurung hampir seminggu, mangsa menggunakan kesempatan ketika suaminya keluar untuk melarikan diri dan membuat laporan polis di balai polis berdekatan untuk mendapat perlindungan pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan untuk menjejaki suami mangsa./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan