KLANG: Seorang pengetua sekolah maahad tahfiz dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua tuduhan melakukan kekerasan jenayah seksual terhadap seorang pelajar perempuan 13 tahun, empat tahun lalu.
Majistret Ho Kwong Chin membebaskan Abdul Rasid Abd Ghani, 35, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap lelaki itu.
“Terdapat banyak perbezaan ketara dalam kes ini. Antaranya, keterangan mangsa mengenai tarikh, tempat dan masa kejadian bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan yang lain.
“Mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen kekerasan jenayah seperti dalam pertuduhan,” katanya.
Abdul Rasid didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara memeluk dan mencium mangsa di sebuah rumah di Kampung Delek, di sini, pada 12.15 tengah hari, 27 Januari 2007.
Dia didakwa sekali lagi melakukan perbuatan itu di tempat sama kira-kira jam 11 malam, pada 1 Februari 2007.
Abdul Rasid yang diwakili peguam, Rasshidi Syed didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan