SUSPEK (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam sebelum ditahan reman selama lima hari.
PETALING JAYA: Gara-gara tidak tahan dengan desakan si abang yang menuntut hutang, seorang adik yang dipercayai terlalu marah bertindak menikam mati saudara kandungnya itu dalam kejadian di Taman Dato Harun di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku pada pukul 6 petang semasa dua beradik itu berada di tingkat atas rumah teres itu manakala ibu bapa mereka berada di ruang tamu rumah.
Difahamkan sebelum tercetus tragedi berdarah itu, kedua-dua beradik terbabit berperang mulut kerana isu hutang RM50.
Mangsa, Kamarul Azhar Nazi, 28, mendesak adiknya yang berusia 21 tahun supaya membayar semula hutang sebanyak RM50.
Tidak tahan dengan desakan si abang, si adik yang terlalu marah mengeluarkan pisau dan menikam dada dan paha kiri mangsa.
Kamarul yang cedera parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia selepas dua jam menerima rawatan./kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan