Rabu, 30 November 2011

Remaja perempuan 14 tahun mengarahkan dua rakan lelakinya merogol gadis

PETALING JAYA: Remaja perempuan samseng. Itu ungkapan sesuai buat seorang remaja apabila sanggup memukul rakan sendiri dengan topi keledar sebelum mengarahkan dua rakan lelakinya merogol gadis terbabit sambil diperhatikannya dalam kejadian di sebuah hutan di tepi lebuh raya berhampiran Kundang, di sini, Ahad lalu.

Perbuatan itu dilakukan selepas cemburu melihat teman lelakinya cuba menggoda mangsa hingga hubungan cinta mereka terputus.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa cedera di kepala selepas dipukul dengan topi keledar.

Menceritakan kejadian itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nora, 16, berkata, dia tidak menyangka rakannya yang berusia 14 tahun sanggup mengarahkan dua rakan lelaki merogolnya disebabkan cemburu buta.

Katanya, sebelum kejadian, kira-kira jam 2.30 petang, gadis terbabit mengajaknya keluar makan bersama enam lelaki berusia 20-an di sebuah kedai makan di Kundang.

“Saya mengikut mereka kerana mengenali rakan saya itu yang sungguh baik dan tidak pernah menyakitkan hatinya. Saya menaiki motosikal bersama seorang daripada kumpulan lelaki itu menuju ke sebuah kedai makan berdekatan rumah.

“Selepas dua jam, saya mengajak mereka pulang kerana bimbang dimarahi ibu tetapi disekat rakan saya itu dengan memberi alasan mahu mengambil seorang lagi rakan di Kundang,” katanya semalam.

Nora berkata, dia berasa pelik apabila dia dibawa ke sebuah hutan.

“Rakan saya itu memberi alasan membawa saya ke hutan akibat sakit hati dan mahu membalas dendam serta mendakwa saya merampas teman lelakinya.

“Sebaik turun dari motosikal, dia memukul kepala saya hingga menyebabkan kecederaan selain merasa pening sebelum memaksa saya membuka baju sekiranya tidak mahu dicederakan dengan lebih teruk,” katanya.

Katanya, memikirkan keselamatan diri, dia terpaksa mengikut arahan dan dirogol dua lelaki yang disaksikan rakan perempuannya itu.

Menurutnya, selepas dirogol, dia kemudian dihantar pulang sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras, kelmarin bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan menerima laporan mangsa./hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan