SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah, di sini, menganggap dia bagaikan mendapat nyawa semula apabila dibebaskan daripada kurungan kelmarin, selepas tujuh hari diculik sejak 10 November lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu ditemui orang awam kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin di Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, dalam keadaan longlai dengan mata, mulut, tangan dan kaki diikat oleh penculiknya. Dia yang ditemui di rumah keluarganya di Padang Jawa, semalam, masih trauma kerana mendakwa sepanjang tujuh hari diculik, penculik itu turut mencederakannya termasuk memukul belakang leher, bahu dan tangan menggunakan kayu.
“Saya dipukul beberapa kali di bahagian belakang badan dan di bahagian lengan kanan oleh penculik itu, diikat mata, mulut, tangan dan kaki dan mulut.
“Memang saya tidak mengetahui sebab apa saya diculik, namun apabila dibebaskan selepas dikurung selama tujuh hari saya merasakan seperti mendapat nyawa semula,” katanya.
Menceritakan semula kejadian dia diculik, katanya, ketika itu dia mahu ke kedai berhampiran rumahnya untuk membeli barang.
Menurutnya, setiba di kedai dia terlihat sebuah pikap jenis Toyota Hilux berwarna hitam berhenti berdekatan dengan kedai itu.
“Sebelum saya masuk ke kedai itu, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an datang ke arah saya dan menarik saya masuk ke dalam pikap itu secara paksa.
“Saya cuba melawan tetapi mereka paksa saya masuk ke dalam pikap. Ketika di dalam kenderaan itu, saya terus diikat di bahagian mata, mulut, tangan dan kaki oleh ketiga-tiga penculik itu,” katanya yang mendakwa tidak sempat berbuat apa-apa kerana penculik itu kuat.
Mangsa yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini mendakwa dia dibawa penculik ke satu tempat yang tidak dapat dipastikan.
“Saya tidak pasti di mana mereka bawa saya tetapi saya rasa saya berada di dalam kereta Hilux itu dua jam. “Ketika dalam penculikan itu, mata, mulut, tangan dan kaki saya diikat sepanjang masa, jadi, saya tidak dapat melepaskan diri dari mereka,” katanya.
Menurutnya, ikatan di mulutnya akan dibuka hanya ketika minum.
“Sepanjang saya di bawah tahanan mereka, saya cuma diberi air masak dan tidak diberi apa-apa makanan.
“Malah seingat saya pada satu hari, tiba-tiba penculik itu memukul saya dengan sebatang kayu tanpa sebab yang munasabah.
“Saya tidak dapat nak bertanya mengapa saya diculik kerana mulut diikat. Saya terpaksa reda diperlakukan mereka memandangkan saya tidak dapat melakukan apa-apa sambil berharap akan dibebaskan,” katanya.
Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk, bahu dan lengan kanannya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan