ALOR GAJAH: Segelintir warga emas beragama Islam sanggup meredah laluan berselut tanah merah di kawasan ladang kelapa sawit semata-mata mendapatkan nombor bertuah melalui acara pemujaan di sebuah tokong lama di Lubok Cina, di sini.
Kedudukannya di puncak bukit 2.5 Kilometer dari jalan utama selain dikelilingi ladang kelapa sawit menjadikannya terlindung daripada pandangan umum. Penduduk, Darus Awaludin, 68, berkata, lokasi tokong lama yang terletak di atas bukit itu menjadikannya sebagai tempat terbaik bagi mereka yang taksub mendapatkan nombor ramalan.
“Pada asalnya, bangsal yang menjadi tempat pemujaan itu adalah sebuah tokong lama yang ditinggalkan, namun kini ia dijadikan tempat melakukan aktiviti pemujaan bagi mereka yang kemaruk inginkan nombor ramalan.
“Saya sendiri pernah melihat sekumpulan lelaki warga emas Melayu, datang ke sini membawa kambing dalam sebuah pacuan empat roda dipercayai untuk aktiviti pemujaan itu selepas senja.
“Saya juga melihat mereka membawa kambing itu dan barangan lain, dipercayai perkakasan untuk upacara pemujaan ke dalam bangsal di atas bukit di tengah ladang sawit itu,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, kebiasaannya kaki ekor datang melakukan aktiviti haram mereka selepas senja sebelum menjelang malam pada setiap hari Khamis malam Jumaat kerana menganggap waktu itu paling sesuai dan kurang gangguan.
Katanya, mereka yang ingin memuja nombor membawa peralatan yang diminta pengamal nombor ramalan seperti tujuh kambing hitam, semangkuk darah ayam, telur ular tedung ,senjata lama atau barangan lama.
Menurutnya, kaki ekor juga membawa pengeras ke situ antaranya colok, pisang, tujuh batang rokok dan buah yang didakwa hidangan untuk penunggu di situ.
“Kaki nombor ekor turut bermalam di situ untuk menjalankan aktiviti bertapa memuja ‘Datuk’ selama beberapa hari kerana yakin takdir memihak kepada nasib mereka.
“Suasana akan menjadi bingit apabila tempat pemujaan dikunjungi kaki nombor selepas mereka mendakwa menerima nombor yang diberikan penunggu di situ apabila selesai upacara pemujaan dilakukan,” katanya.
Difahamkan, kumpulan pemuja tegar turut mengadakan pesta memotong kambing setiap pertengahan tahun, malah ada yang memeluk dan mencium kambing itu sebagai satu upacara.
Seorang lagi penduduk, Hemizan Selamat, 42, berkata, golongan itu biasanya menggunakan jampi tertentu untuk menyeru penunggu dalam usaha memuja nombor diingini.
“Mereka taksub kepada benda keramat seperti keris, kubur, pokok besar dan batu sehingga ada antara golongan ini sanggup meredah jauh ke dalam ladang estet untuk tujuan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, amalan kuno seperti puja kambing, darah ayam dan ancak untuk jamu jin diamalkan orang Melayu dulu-dulu sejak turun temurun.
Katanya, sehingga hari ini amalan itu dalam diam masih diamalkan segelintir masyarakat untuk mendapatkan sesuatu melalui cara mistik.
“Mamang menyedihkan apabila mereka tergamak mencampur-aduk ajaran Islam dengan fahaman karut,” katanya./hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan