KUALA TERENGGANU: Gara-gara gagal mendapat RM15, seorang anak sanggup mengugut akan memukul dan meragut barang kemas yang dipakai ibu kandungnya.
Namun, tindakan tidak berperikemanusiaan Sani Baba, 26, itu akhirnya terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, dari Kampung Kubang Parit, di sini, mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan cedera kepada ibu kandungnya, Rahmah Embong, 54, dengan niat menyebabkannya berasa cemas.
Tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu pada 3 Januari lalu kira-kira jam 12 tengah hari di kediaman mereka di Kampung Kubang Parit, di sini.
Dengan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada 3 Januari lalu lebih kurang jam 12 tengah hari, tertuduh telah meminta wang tetapi mangsa menyatakan dia tidak mempunyainya.
Jawapan yang diberikan itulah menyebabkan tertuduh naik angin dan telah mengugut akan memukul mangsa serta meragut barang kemas yang dipakai mangsa sekiranya masih berdegil tidak mahu memberikan wang.
Bimbang akan keselama-tan dirinya, mangsa terus melarikan diri masuk ke dalam bilik dan meminta menantu lelakinya yang secara kebetu-lan berada di rumah menghubungi pihak polis.
Susulan panggilan telefon yang dibuat, tiga jam kemu-dian, polis datang ke rumah mangsa dan menahan tertuduh yang masih lagi berada di kediaman itu untuk dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga, di sini.
Hasil siasatan, tertuduh mengaku telah marah dan mengamuk sehingga menyebabkan cermin kabinet televisyen pecah, langsir ruang tamu koyak dan cermin almari baju pecah.
Tertuduh yang turut positif morfin hasil ujian saringan awal air kencing mengaku mengugut akan memukul dan meragut barang kemas yang dipakai ibunya sekiranya tidak mahu memberikan wang RM15 dengan tujuan membeli dadah jenis itu./sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan