Selasa, 3 Januari 2012

Disergah dua penyamun

Polis-mencari-bukti-bagi-menjalankan-siasatan
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah terkejut apabila disergah dua penjenayah yang masuk rumahnya di Desa Melawati, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Wan Zuriani Wan Abd Hamid, 46, baru sampai ke rumahnya dan sejurus keluar dari kereta, dia didatangi dua penjenayah.

Ketika kejadian, dua anak lelaki mangsa yang berusia 15 dan 17 tahun sedang bermain bola dan cuba menyelamatkan ibu mereka menyebabkan berlakunya pergelutan.

Menurut mangsa, ketika pergelutan, penjenayah melepaskan dua das tembakan ke arah lantai dan pagar rumah.


“Salah seorang penjenayah ada mengacukan pistol ke arah saya, tetapi tembakan tersebut tidak berjaya dilepaskan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, mereka berjaya mengambil beg tangan dan memukul anak saya dengan topi keledar sebelum melarikan diri,” katanya.

Beg tangan mangsa ditemui kemudian kira-kira tiga kilometer dari rumahnya dan dicampakkan di tepi jalan tetapi sejumlah wang tunai lesap.

Katanya, anaknya hanya mengalami pendarahan di belakang kepala dan semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika ditemui di lokasi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 375/397 kerana samun bersenjata./sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan